Sudah lama rasanya tidakku jenguk laman blog kepunyaanku ini. Kali ini, aku memilih untuk menulis dalam Bahasa Melayu, bahasa ibunda negara tercinta tanah airku, Malaysia. Kekok rasanya setelah lama tidak menulis dalam bahasa ini. Sudah lama kutinggalkan mata pena yang mengalirkan darah kemelayuanku. Bahasa Inggeris, bahasa penjajah negaraku tidaklah kukuasai sesempurna mana, namun aku berasa bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan, walau kecil, untuk memartabatkan semula bahasa ini kerana sejak akhir-akhir ini, kecenderungan generasi baru negaraku untuk bercakap dalam bahasa Inggeris di mana-mana tempat awam dan bertambahnya jumlah rakyat negaraku sendiri yang tidak fasih berbahasa Melayu amat membimbangkan.
And my Malay language is not perfect either. I chose to write in Malay language this time, though I knew I’d shy away my non-Malay-speaking readers. I said non-Malay-speakers, not non-Malays, and that includes you if you’re a Malay but you can’t read and speak Malay and you’ve mentioned one of these: “I sound awkward/serious/funny when I speak in Malay” or “Sorry but my Malay is not good”. Yeah, these kind of Malays are growing in number, mind you, though most of them actually know how to eat sambal belacan or suck and eat the contents of siput sedut masak lemak cili api when they go to Malay restaurants. Back to the main topic.
Banyak yang berlaku dalam hidupku dalam masa 5 bulan yang lalu (sejak entry terakhirku). Apa yang paling penting, aku telah pun lulus dalam peperiksaan akhir semester 7. Sesuatu yang tidak kusangka-sangka, kerana persediaan yang sangat sedikit dan ilmu yang sangat cetek.
Sebenarnya, banyak yang ingin aku tulis, namun bukan pada malam ini. Ada tugasan lebih penting yang harus aku siapkan. Pada tahun ini, aku hanya akan menyambut hari raya Aidiladha di Kuala Lumpur, tidak meriah seperti tahun-tahun sebelumnya dengan daging korban yang dimasak beramai-ramai untuk dijadikan kari dan sup.
Aku menulis entry ini di Hotel Grand Dorsett, Subang. Hotel ini sudah menjadi rumah keduaku pada waktu ini memandangkan rumah kami di Denai Alam masih dalam proses pengubahsuaian dan penambahbaikan. Abah baru sahaja dibenarkan keluar dari wad semalam. Selama seminggu dia terlantar di Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC), Subang ini untuk pembedahan bagi membuang ketumbuhan dalam otak yang dikesan melalui MRI minggu lalu. Alhamdulillah, pembedahan itu berjaya dan ketumbuhan itu adalah meningioma yang dikesan pada peringkat awal walaupun saiznya hampir mencecah 3.0 x 2.8 x 2.8 sentimeter. Ia adalah ketumbuhan yang datangnya dari sel-sel arachnoid villi yang terdapat di dalam lapisan meninges yang melindungi otak. Ketumbuhan ini bukanlah kanser (benign) namun ianya berpotensi menjadi kanser (malignant) jika tidak dirawat.
Sekadar gambar hiasan
Alhamdulillah, simptom yang abah hadapi sebelum ketumbuhan itu dikesan hanyalah sakit kepala. Sekiranya ia lambat diketahui, mungkin ketumbuhan itu akan menjadi bertambah besar dan mengakibatkan komplikasi seperti sawan, kesukaran bercakap, kelemahan dalam menggerakan anggota badan, dan strok.
Banyak yang ingin aku tulis dan perkatakan, tetapi hanya setakat ini dahulu untuk hari ini sebagai permulaan. Terima kasih kerana membaca entry kosong yang tidak ada apa-apa kandungan dan mesej ini.
P/S:
Kepada rakan-rakan sekerja, sahabat-handai, saudara-mara, kenalan-kenalan dan semua staff Sime Darby Plantations amnya; yang datang melawat di hospital mahupun di hotel, yang menghantarkan jambangan bunga, kad dan buah-buahan, atau yang menelefon dan menanyakan khabar mahupun yang menghantar mesej di Facebook; saya bagi pihak Haji Ghoz sekeluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas ingatan tulus ikhlas dan doa anda semua.
Semoga kita semua sentiasa beringat-ingat untuk menghargai waktu sihat sebelum datangnya sakit dan senantiasa dilimpahkan nikmat kesihatan yang baik oleh Allah s.w.t. Aamiin.
0 comments:
Post a Comment